Bersediakah Anda untuk Revolusi Industri 4.0?

Tidak ramai yang sedar bahawa dunia kini menghadapi Revolusi Industri 4.0, di mana ianya lebih tertumpu kepada proses pendigitalan tugas dan menekankan Internet of Things (IoT) iaitu internet kebendaan. Lihat sahaja bagaimana kewujudan pelbagai mobile apps pada hari ini telah membantu kita dalam urusan seharian seperti pesan kenderaan, pesan makanan dan beli-belah. Hampir semua urusan kita pada hari ini mampu dilaksanakan dengan lebih mudah melalui medium digital ini berbanding proses tradisional yang memakan masa dan tenaga.

Ramai sebenarnya di antara kita yang masih berada dalam penafian akan kehadiran Industri 4.0 ini. Kebanyakannya akan berkata “kami OK sahaja guna cara manual” dan “susah untuk guna” apabila ditanyakan pendapat mereka mengenai pengadaptasian sistem digital. Namun, benarkah apa yang diperkatakan oleh mereka ini sekiranya satu dunia kini sedang sibuk mempergiat Industri 4.0?

Apa Pentingnya Revolusi Industri 4.0?

1.Kelangsungan Bisnes sewaktu Detik Kecemasan

Kita boleh lihat kebergantungan kita pada internet pada hari ini terutamanya di saat pandemik COVID-19. Lihat sahaja jumlah peniaga dan usahawan yang telah mula menjual makanan dan barangan mereka secara atas talian selepas Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac yang lalu.

Melalui pengadaptasian digital, perniagaan masih mampu dijalankan dan orang ramai masih dapat mengakses servis yang kita tawarkan walaupun pada waktu kecemasan seperti pandemik COVID-19 ini. Selain itu, perbincangan bersama para pekerja juga turut masih boleh dilaksanakan melalui pelbagai medium perjumpaan seperti aplikasi Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams. Teknologi telah membuktikan bahawa tiada alasan untuk kita tidak meneruskan pekerjaan kita meskipun kita tidak dapat hadir secara fizikal di tempat kerja.

2. Lebih Memudahkan Urusan, Menjimatkan Masa

Anda pernah menunggu teksi yang tak kunjung tiba atau beratur selama 30 minit untuk mendapatkan minuman kegemaran anda pada hujung minggu? Bandingkan kehidupan sekiranya anda memesan kenderaan melalui aplikasi GRAB ataupun anda pesan minuman anda di FoodPanda dan pick-up minuman tersebut di kaunter selepas 15 minit pesanan dibuat. Ia sememangnya lebih menjimatkan masa dan tenaga tanpa sempat anda mengeluarkan peluh untuk melakukannya.

Bukan setakat itu sahaja, dalam gelombang digitalisasi ini, kebanyakan peranti di sekeliling kita turut dilengkapi dengan teknologi kepintaran buata (Artificial Intelligence) yang membenarkan peranti bertindak terhadap sesuatu arahan sama seperti manusia. Contohnya, khidmat Siri yang terdapat pada produk Apple berkebolehan untuk menerima arahan anda dan bertindak mengikut arahan tersebut. Anda hanya perlu memanggilnya dan nyatakan arahan anda seperti “mainkan lagu A” dan lagu A akan dimainkan di telefon pintar anda. Anda tidak lagi perlu membazir masa membuka aplikasi muzik anda dan mencari lagu yang ingin dimainkan satu-persatu dengan bantuan kepintaran buatan ini.

3. Memberikan Ketelusan Data dan Informasi

Jika anda merupakan seorang ketua di syarikat anda, anda semestinya mempunyai kesukaran untuk mengawasi kesemua pekerja anda terutamanya pekerja-pekerja yang berada di lokasi yang pelbagai. Bukan setakat itu sahaja, anda juga perlu sentiasa meluangkan masa anda untuk turun melihat struktur operasi syarikat bagi memastikan operasi berjalan seperti yang anda kehendaki.

Industri 4.0 ini telah terbukti dapat membantu mengawasi aktiviti pekerja dan juga operasi perusahaan anda satu demi satu walaupun tanpa bersua muka. Kecanggihan alat teknologi pada hari ini yang dilengkapi dengan pengesanan real-time dan juga kebolehannya dalam memberikan live reporting dijamin akan memudahkan anda tanpa memerlukan anda bergerak ke sana sini. Informasi yang diperolehi melalui teknologi ini sesungguhnya adalah lebih telus serta dapat membuktikan sekiranya terdapat pekerja anda yang bersikap tidak jujur semasa melaksanakan tugas.

Kehadiran teknologi digital ini bukanlah bertujuan untuk menyulitkan kita, sebaliknya ia memudahkan lagi tugas seharian kita. Inovasi demi inovasi yang dicipta tidaklah bermatlamat untuk menjadikan kita seorang yang malas, tetapi untuk membantu kita menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah terutamanya dalam melakukan multitasking dimana ia mampu membantu kita melaksanakan banyak tugas dalam satu masa.

Masyarakat sesungguhnya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal dalam penerimaan perubahan teknologi ini. Tidak dapat dinafikan bahawa pengadaptasian teknologi dalam kehidupan kita pada awalnya akan membuatkan kita berasa janggal kerana kita sudah terbiasa dengan cara konvensional, namun apa yang perlu kita lakukan adalah membiasakan diri dengan norma baharu penggunaan teknologi ini. Ingatlah bahawa teknologi yang bergerak pantas pada hari ini tidak akan mengejar kita, maka kitalah yang perlu mengejarnya. Semestinya kita tidak mahu menjadi negara dan rakyat yang ketinggalan sedang negara luar sudah jauh kehadapan dalam pengadaptasian teknologi ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *